Hidup adalah pilihan. Ada tersilap langkah, diuji dengan hukuman dan kemudian terpenjara, ia bukanlah satu hukuman akhir. Allah itu bersikap pengasih kepada hamba-hambaNya, masih memberi peluang untuk hambanya berubah.

Satu perkongsian dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri cukup menusuk ke jiwa. Menatap wajah sebak banduan akhir yang merupakan igauan ngeri bagi semua orang dalam dalam satu majlis penyerahan untuk berbuka puasa semalam cukup sebak.

Antara dipinta oleh mereka ini ialah meminta agar Menteri agama ini mendoakan kesejahteraan mereka. Malah tanpa segan silu, Datuk Dr Zulkifli turut meminta para banduan ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan dirinya kerana tidak tahu doa siapa yang tidak terhijab.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada semua banduan akhir ini, jua kepada diri saya; jika kita terus tunduk ketika dalam kesusahan, kita hanya akan menangis dan tertekan dengan ujian yang menimpa. Dongakkan kepala ke langit. Kita akan lihat betapa luasnya rahmat serta keampunan Allah SWT. Sentiasa positif, teruskan doa dan tawakal cukup menusuk jiwa.








Berikut adalah perkongsian di fbnya.

Ini tahun ke-5 kami bersama-sama meraikan Ramadhan bersama Banduan Akhir (BA). Aktiviti tahunan sejak saya masih bergelar Mufti Wilayah Persekutuan.

IKLAN

Untuk kunjungan kali ini, saya turut mengajak bersama Youtuber terkenal, Hazeman Huzir (Haze) untuk merasai suasana Ramadhan yang berbeza di balik tirai besi. JAKIM, YADIM, dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hadir menyampaikan perkongsian ilmu kepada semua BA.

Bagai ada sesuatu yang mengikat hati saya dengan BA lelaki dan wanita di Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Seremban. Dapat duduk seketika, beramah mesra, dan menunaikan solat berjemaah bersama mereka sudah cukup mengubat kerinduan di hati.

Sebak hati ini tatkala mendengar laungan azan oleh muazzin BA sebentar tadi. Tahun-tahun sebelumnya, kami sama-sama menunaikan solat Tarawih berjemaah. Tahun ini dek kekangan pandemik COVID-19, kami cuma dapat solat Zohor berjemaah. Alhamdulillah.

Ketibaan saya di Penjara Wanita Kajang disambut dengan selawat dan paluan kompang oleh para banduan wanita. Amat meriah!

IKLAN

Saya anggap semuanya seperti sahabat saya. Mereka kenal saya sejak 4-5 tahun lalu. Hari ini mereka hadiahkan saya sabun yang diukir tulisan khat dan rehal al-Quran yang dibentuk daripada kotak kraft.

Masih segar di ingatan pada tahun lalu, seorang BA menyapa saya selepas berbuka puasa, “Ustaz, ini pertama kali saya jamah Nasi Arab Kambing setelah lama sangat tak merasa.” Mengalir air matanya.

Tahun ini saya mohon maaf tak dapat berbuka puasa bersama. Cuma kami bawakan Ayam Goreng KFC khas tanpa tulang tajaan QSR Brands Sdn. Bhd dan RM30 ribu khusus untuk semua BA di Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Seremban berbuka puasa dengan lauk yang lebih istimewa pada malam ini.

Kepada kakitangan penjara daripada kelompok B40, kami sediakan 800 pek makanan daripada YaPEIM dan Yayasan Taqwa. Moga dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung sepanjang pandemik ini.

IKLAN

Banduan parol dan juvana juga tak pernah saya lupakan. Kami peruntukkan RM5,000 untuk pembelian barang keperluan peribadi banduan di penjara.










Pengarah Penjara Sungai Buloh memaklumkan kepada saya yang Penjara Sungai Buloh belum ada van jenazah. Terpaksa pinjam dengan masjid berdekatan jika ada kematian banduan. Kadangkala terpaksa berkejar kerana bertembung untuk menguruskan jenazah kariah setempat dan jenazah banduan.

Melihat akan keperluan tersebut, kami sediakan sebuah van serbaguna dengan nilai RM150,000. Boleh manfaatkan untuk bawa jenazah banduan, bawa banduan yang sakit atau mengikuti program luar. Moga dimanfaatkan sebaiknya untuk kebajikan banduan.

Sekalung penghargaan saya tujukan kepada Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato' Haji Nordin bin Haji Muhamad; Pengarah Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Seremban atas kerjasama dalam menjayakan program Ziarah Prihatin dan Musaadah COVID-19.

Pesanan saya kepada semua BA, jua kepada diri saya; jika kita terus tunduk ketika dalam kesusahan, kita hanya akan menangis dan tertekan dengan ujian yang menimpa. Dongakkan kepala ke langit. Kita akan lihat betapa luasnya rahmat serta keampunan Allah SWT. Sentiasa positif, teruskan doa dan tawakal.