Apa lah gunanya miliki rumah mewah bak istana andai malaikat Rahmat pun enggan menghampirinya. Harta yang ada tidak terasa nikmatnya; ada sahaja perkara perkara buruk menimpa pemiliknya.

Tak betah diduduk di rumah! Sepatutnya rumah itu laksana syurga di dunia, namun lain pula jadinya.

Ini semua kesan daripada tiada rahmat dan berkat Allah SWT.
Jika kita selami, rasa tidak ‘ngam’ ini, ia berpunca daripada tiadanya kunjungan malaikat Rahmat yang membawa berkat daripada Allah.

Sekarang tiba pula persoalan, bagaimana kita nak undang kehadiran malaikat Rahmat ini?
Sudah tentu kita inginkan kehidupan yang tenang, aman, damai, menguntungkan dan segala jenis kebaikan mengalir masuk ke rumah kita berkat kehadiran malaikat Rahmat.

Dalam tidak sedar, ada perbuatan kita menyebabkan malaikat Rahmat tidak sudi masuk ke rumah. Cuba nilai punca berikut dan atasinya segera.

1. Rumah yang penghuninya memutuskan tali persaudaraan.

Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya adalah satu dosa besar.

2. Rumah yang penghuninya menderhaka kepada ibu bapa.

Anak-anak wajib berbuat baik kepada ibubapa tanpa syarat, perlu taat dan menghormati mereka. Jangan sesekali menderhaka dan mengguris hati mereka kerana ia adalah dosa besar.

Reda Allah terletak kepada reda ibubapa. Kita tidak mahu ibubapa membenci kita kerana jika ia terjadi Allah juga akan murka terhadap kita.

IKLAN

3. Rumah yang penghuninya memakan harta anak yatim.

Anak-anak yatim adalah golongan yang wajib dilindungi dan dilimpahi dengan kasih sayang. Jangan sesekali kita cuba memakan dan menggunakan harta mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya.
Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.”

(Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)

Artikel berkaitan: Rupanya Lepas Kematian Suami, Tanggungjawab Cari Nafkah Anak-Anak Jatuh Pada Datuk Atau Pakcik, Bukan Ibu

Artikel berkaitan: Rajinlah Bantu Mak Ayah & Kerap Bersedekah, InsyaAllah Jodoh Tahun Ini Cepat Mendekat & Tak Kemana

4. Rumah yang penghuninya memelihara anjing.

Kehadiran anjing di dalam rumah akan menjejaskan kebershan dan kesuciannya. Dibimbangi ada najis seperti air kencing dan jilatannya pada mana-mana bahagian rumah seperti lantai atau perabot.

Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”

5. Penghuni yang mengadakan majlis tetapi menyimpang jauh dari ajaran Islam atau sesat.

Sebarang acara yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW perlu dihentikan.

Ini disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala. Malaikan Rahmat akan menjauh dan syaitan pula akan menghampiri.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6. Rumah yang penghuninya suka menghamburkan kata-kata cemuhan, nista dan makian.

Ini melambangkan keperibadian yang muflis. Penghuni yang suka mencaci, memaki sesama saudara Islamnya, mengeji sebarang kejadian alam, penyakit dan banyak lagi.

Tiada satu perkataan yang baik pun keluar daripada mulutnya.
Kita patut menjaga lisan,berkata perkara yang baik-baik sahaja agar malaikat Rahmat sudi menghampiri rumah kita.

7. Rumah yang penghuninya dilaknat.

Golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Sebenarna amat mudah untuk kita mengundang malaikat Rahmat datang dengan cara mengelakkan perkara-perkara yang dilarang dalam agama.
Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat perbetulkan apa yang salah selama ini.

Sumber artikel:semuanyajdt.com

Kashoorga: Mulai hari ini kita muhasabah dan perbaiki segala perkara agar malaikat Rahmat ingin masuk ke rumah kita.