Selepas latte challange tular pula di media sosial satu aplikasi iaitu Face App yang boleh menukar wajah kepada jantina berbeza.

Ramai selebriti yang turut melakukan ini untuk mengetahui wajah mereka apabila ditukar jantina.

Perkara ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri yang memberitahu tindakan ini tidak wajar dilakukan umat Islam dan sebaiknya dielakkan sama sekali.

Beliau berkata, meskipun manusia pada masa kini mencapai kemajuan dengan teknologi serba canggih, merubah ciptaan Allah walaupun bukan secara langsung pada fizikal manusia itu disifatkan beliau sebagai tindakan yang tidak baik.

IKLAN

Malah katanya, tindakan itu antara lain boleh menjatuhkan maruah serta mewujudkan manipulasi dalam keadaan tidak benar terhadap sebaik-baik ciptaan Allah.

“Sebab itu, jika kita lihat, setiap manusia yang hidup mempunyai nama masing-masing untuk membezakan antara satu sama lain termasuklah dari segi jantinanya.

“Apabila wajah ditukar apatah lagi lelaki diwanitakan atau sebaliknya, konsep yang sepatutnya yang mana kita kenal identiti manusia itu akan berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai aplikasi menukar wajah kepada jantina lain yang ‘trending’ di media sosial kebelakangan ini.

Dr Zulkifli berkata, Allah menciptakan manusia dengan menyatakan: “Kami ciptakan manusia ini sebaik-baik kejadian,” maka sebab itu tindakan berkenaan dilihat seperti melanggar etika kemanusiaan.

“Allah sebutkan dalam al-Quran: “dan Kami telah muliakan keturunan anak Nabi Adam,” yang mana kalimah itu memberi makna banyaknya kelebihan manusia dari segi akalnya, wajahnya, jadi, walaupun sekadar gambar atau video, elakkanlah.

“Dari sekeping wajah manusia, tuhan cipta riak marah, suka, sedih menggunakan wajah yang sama, betapa luar biasanya ciptaan ini, berbanding kambing, lembu dan sebagainya yang tidak pula Allah berikan kelebihan ini,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Artikel Berkaitan: “Jangan Suka-Suka Buat Lathi Challenge, Hukumnya Haram & Menyalahi Apa Dibenarkan Oleh Syarak” – Pu Syed